Home

Friday 16 November 2012

ADAB ZIARAH


Slot Menjawab Soalan





Soalan Latihan






ADAB MENZIARAH


Menziarah dan saling bermaafan adalah tuntutan agama.

Amalan ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Sabda Nabi SAW

Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di jalan syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakannya hingga petang dan begitulah sebaliknya.


Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud:-

“Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!”.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)


Tujuan kunjung mengunjung adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, memperaga baju raya paling cantik, mahal ataupun melihat setiap hiasan atau susun atur rumah yang kita kunjungi.
Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak saudara, bukan sahaja pada hari raya malah ketika hari-hari biasa.

Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah, selepas menziarah dan perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah.

Adab-adab sebelum berziarah
  • Memilih masa yang sesuai
  • Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat
  • Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah
  • Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.
  • Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda
Adab semasa menziarah
  • Memberi salam dan bersalaman
  • Meminta izin untuk masuk
  • Memendekkan tempoh ziarah
  • Mengawal pandangan
  • Merendahkan suara
  • Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.
  • Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.
  • Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.
Adab selepas menziarah
  • Meminta izin apabila hendak beredar
  • Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar
  • Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah
  • Enggan memberi salam
  • Masa yang tidak bersesuaian
  • Mengaibkan tuan rumah
  • Mengumpat
Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Salam ukhwahi dan ziarahlah dengan hati yang suci.

Adab Menziarahi Orang Sakit

Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang disarankan oleh Islam untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit merupakan salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud:-

“Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!”.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Antara adab-adab ziarah pesakit (menurut kitab Fiqh Sunnah).

Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

1. Ketika berada disisinya, hendaklah kita sentuh dan pegang tangannya kemudian letakkan tangan di dahinya dan tanya tentang penyakit dan keadaannya sekarang.
2. Doa dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul dan Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya. Menyampaikan ucapan yang baik, dapat menghiburkan hati si sakit dan menguatkan jiwanya. Contohnya beri ucapan: “Tidak apa-apa insyaAllah lekas sembuh.”
3. Berikanlah nasihat-nasihat yang baik serta ucapkan perkataan “Sabarlah sakit ini adalah salah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga, seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak”.
4. Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadah ziarah itu.
5. Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:
“Ya Allah ! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)
6. Pendekkan waktu ziarah. Sebolehnya, kadang-kala si pesakit ingin tidur, atau ingin makan ubat dan tukar pakaian. (kecuali si sakit mengkehendaki sebaliknya)
7. Wanita boleh menziarahi lelaki. Dalil: Aisyah ra pernah menziarahi Bilal bin Rabah ra yang sakit demam panas
8. Boleh juga menziarahi orang bukan Islam. Dalil: alBukhari meriwayatkan dalam bab menjenguk orang musyrik.

Sunat Menziarah :

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita.

Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.

Doa mendoakan orang sakit:-


Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insyaAllah.

Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau.

“Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu.” At-Tarmizi & Abu Daud.

Kelebihan menziarahi orang sakit.

Insyallah, moga-moga aku dan kita semua rajin-rajinlah menziarahi orang sakit dan mendoakannya. Mungkin hari ini hari dia, esok lusa, mungkin hari kita. Memang terasa kesunyian bagi yang pernah mengalaminya di hospital, barangkali kita hanya berkawan dengan pesakit di sebelah katil. Sedih jer rasanya, mana orang tersayang tak lawat-lawat kita nie, sibuk sangat bekerja agaknya?

Adab menziarahi jenazah

Firman Allah SWT yang bermaksud, “…setiap jiwa itu akan merasai mati..” (Surah ali-Imran, ayat 185). Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kepada umatnya agar sentiasa mengingati mati dalam sabdanya yang bermaksud, “Perbanyakkanlah memperingati perkara yang memutuskan kenikmatan dunia (mati).”

Tua belum pasti, tetapi MATI ITU PASTI. Mengapa tiba-tiba saya bercakap fasal kematian? Dua hari lepas, saya membaca posting tentang kematian seorang rakan di SIM, saya mungkin mengenalinya, mungkin tidak. Apa-apapun, marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada arwah, Allahummaghfirlahu warhamhu... (Ya Allah ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmat-Mu ke atasnya)…

Menziarahi jenazah bukanlah agenda yang selalu kita lakukan sehari-hari. Oleh itu, adalah normal jika kadang-kadang kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sebenarnya, dalam ajaran Islam, terdapat adab-adab untuk setiap yang kita kerjakan, termasuklah adab-adab menziarahi jenazah. Apabila kita menerima berita tentang kematian seseorang Muslim, sama ada yang kita kenali mahupun tidak kita kenali, adalah sunat kita menyebut, “innaalillaahi wa innaa ilaihi ro ji'uun”, seperti firman Allah SWT yang bermaksud,“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Adab-adab menziarahi jenazah seperti :
  • Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain. Tidak digalakkan meninggikan suara ketika berbual-bual. Perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Hormatilah ahli keluarga jenazah yang bersedih. Mereka tidak mungkin akan faham kenapa orang lain masih boleh tersenyum dan ketawa apabila mereka sedang berduka. Kita haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan,
“Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal.”2.
  • Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca surah Yasin seperti yang disebutkan              di dalam hadis yang bermaksud,
“Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca surah Yasin.” (Hadis riwayat Abu Daud)
  • Berdoa supaya jenazah mendapat keampunan Allah SWT dengan mengucapkan “Allahummaghfirlahu warhamhu” ertinya, “Ya Allah, ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmat-Mu ke atasnya.”
  • Memberi pertolongan kepada keluarga jenazah dalam urusan pengkebumian atau menyediakan makanan untuk keluarga si mati. Digalakkan agar menghulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.
  • Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut. Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.
  • Melahirkan perasaan dukacita kepada waris di atas kembalinya ke rahmatullah.
  • Mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan perasaan dukacita keluarga jenazah.
  • Mengingatkan keluarga jenazah dengan kesabaran di atas ujian Allah.
  • Tidak menceritakan aib jenazah.
  • Disunatkan membanyakkan membaca al-Quran dan berdoa sebelum jenazah dikebumikan.
  • Segerakan pengurusan jenazah.
  • Sembahyangkan jenazah dan mengiringinya ke kubur.
Terdapat pula perkara-perkara yang tidak dibolehkan dan tidak digalakkan kita membuatnya, seketika kita menziarahi jenazah. Perkara yang tidak beradab ketika menziarahi jenazah.
  • Membuat perkara yang menyinggung perasaan keluarga jenazah seperti menumpat jenazah atau bergurau senda dan berbual-bual dengan nada suara yang tinggi.
  • Jangan sesekali bercerita tentang keburukan jenazah. Ingatlah dosa kita dengan manusia hanya boleh diampunkan oleh orang itu sahaja.
  • Jangan bercerita hal-hal dunia seperti jualan langsung, kerja-kerja kosong dan lain-lain (hal-hal begini memang sering berlaku).
  • Merasa kesal terhadap kematian seperti meratap atau meraung seperti orang jahiliyah
  • Membebankan keluarga jenazah dengan permintaan yang mereka tidak mampu
  • Tidak redha dengan takdir Allah
Beberapa hikmah yang boleh kita perolehi sekiranya kita menziarahi jenazah. Antaranya :
  • Kita berpeluang menzahirkan perasaan simpati kepada keluarga jenazah,
  • Mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli keluarganya,
  • Dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah dan
  • Menunaikan fardu kifayah iaitu memberikan hak sebagai seorang muslim keatas muslim yang lain.
  • Menziarahi jenazah dapat melahirkan rasa keinsafan dalam diri kita tentang kematian itu pasti menjemput kita suatu hari nanti,
  • Kematian adalah sebahagian daripada qadha Allah yang wajib diterima oleh semua makhluknya.
  • Kita juga dapat bermuhasabah diri tentang ibadat yang telah kita lakukan selama ini. Kita akan terfikir, adakah ibadah kita selama ini mencukupi untuk di buat bekalan di akhirat nanti.

“Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmat-Mu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaan-Mu”. Amiin.